Latar Belakang Sejarah Petempatan Buloh Kasap

Buku: Menelusuri Sejarah Tempatan Johor
Penerbit: Yayasan Warisan Johor
Mukasurat: 247 - 249 (Bab 14)
Oleh: Hj. Zainal Omar Shakri Ahmad

Latar Belakang Sejarah Petempatan Buloh Kasap

Buloh Kasap terletak di daerah Segamat, iaitu di bahagian utara negeri Johor. Ia mempunyai pelbagai sejarahnya yang tersendiri. Sejarah awalnya ditandai oleh kedatangan orang luar yang membuka petempatan di Segamat. Kisah-kisah mengenai pembukaan petempatan daerah Segamat diwarnai oleh cerita kemasyhuran sejarah tempatan. Salah sebuah tempat di daerah Segamat ini yang menjadi masyhur dan terkenal di kalangan ahli ahli sejarah ialah 'Buloh Kasap'.

Pembukaan petempatan awal di daerah Segamat sebenarnya melalui beberapa tahap. Daripada rekod dan sumber yang dapat dipertanggungjawabkan, daerah Segamat mula didatangi orang kira-kira lima abad yang lalu atau tarikh tepatnya pada tahun 1511.¹

Semasa perang di Pagoh, Sang Setia, seorang pembesar Melaka telah menemui ajalnya. Sultan Mahmud, Sultan Ahmad dan pengikutnya terus berundur. Dalam pelarian itulah, Bendahara Paduka Raja (Bendahara Tepok) telah meninggal dunia di suatu kawasan berhampiran sebuah pengkalan di daerah Segamat (pada masa itu Segamat belum pun bernama lagi).²

Boleh dikatakan kebanyakan penduduk Buloh Kasap ketika itu duduk berkampung di sepanjang Sungai Muar.

Sejarah pembukaan dan nama Buloh Kasap terbit daripada nama buluh yang tumbuh dan hidup subur di suatu kawasan berhampiran dengan jambatan panjang yang menyeberangi Sungai Muar. Kawasan yang dimaksudkan ialah jalanraya Gemas ke Segamat. Rumpun-rumpun buluh yang dikatakan itu ialah 'Buluh Kasap', maka bersempena dengan buluh itulah, tempat ini dinamakan 'buluh kasap'.³

Yang anehnya, buluh ini tidak tumbuh di tempat lain sekitar kawasan daerah Segamat ini. Keadaan dan bentuk buluh ini agak berlainan daripada buluh yang lain. la berukuran sebesar ibu jari kaki sahaja, manakala jarak antara ruas ke ruasnya lebih kurang 1 1/2 meter. Buluh ini digunakan oleh Orang Asli untuk membuat 'sumpitan'.

Kini Buloh Kasap merupakan sebuah pekan di dalam daerah Segamat. Jauhnya dari Segamat ialah kira-kira 8 kilometer. Lokasi Buloh Kasap berhampiran Sungai Muar menjadikannya sesuai sebagai laluan untuk pengangkutan bagi barang dagangan menuju ke Muar. Petempatannya sangat sesuai kerana kedudukan tanahnya agak tinggi dari aras sungai dan terhindar daripada banjir. Malah tatkala banjir besar, hanya beberapa buah kampung sahaja di dalam Buloh Kasap ini yang terjejas. Pekan Buloh Kasap itu sendiri tidak dilimpahi air.

Selain penduduk asal tempatan, dan mereka yang berasal dari Melaka, kebanyakannya terus menetap di sini sehingga ke beberapa keturunan. Terdapat juga penduduk yang berhijrah ke sini datangnya dari Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sumatera (Indonesia).

Mereka mendiami kawasan-kawasan daratan dan lembah sungai, menjalankan kegiatan menanam padi sawah, padi bukit, menanam pokok buah-buahan (dusun), mengutip hasil hutan dan menangkap ikan. Usaha penangkapan ikan tertumpu kepada petempatan berorientasikan pinggir sungai. Selain daripada itu, pertanian, penternakan dan sebagainya turut dilakukan.

Kedudukan Buloh Kasap sangat strategik kerana jalan daratnya dari Segamat ke Gemas melalui Pekan Buloh Kasap. Pada zaman dahulu, jalan sungai merupakan laluan utama pengangkutan bagi perahu atau bot yang menghala ke Muar. Hasil perdagangan yang dibawa dengan perahu atau bot itu ialah buah-buahan seperti durian, manggis, langsat, pisang, pinang, atap daun dan sebagainya. Selain daripada itu barang keperluan yang lain turut dibawa bersama.

Oleh kerana Buloh Kasap terkenal di serata tempat, khususnya di negeri Johor, maka tidaklah hairan penduduk dari luar kawasan ini berhasrat berhijrah ke sini. Kebanyakan mereka yang berdagang ini terus menetap di sini sehingga ke beberapa kenurunan. Ada di antara mereka yang menjawat jawatan ketua, imam, bilal dan sebagainya. Di antara tokoh yang paling menonjol ialah Dato' Penghulu Haji Abdullah bin Mahat yang berasal dari Kampung Sebatu, Melaka. Beliau berkahwin dengan orang tempatan di Buloh Kasap ini, beranak-pinak dan bercucu-cicit di sini.

Adalah dipercayai petempatan Buloh Kasap ini dibuka pada tahun 1890 oleh keluarga yang datangnya dari negeri Melaka.

Di antara tahun 1890 hingga 1900, Kampung Sepedas dan Teluk Kelubi pula dibuka oleh keluarga Minangkabau. Ini diikuti oleh Kampung Sepinang yang dibuka oleh orang Melayu daripada keluarga Menteri Kelup. Keluarga ini juga membuka Kampung Kuala Paya iaitu yang berpunca daripada Buluh Akar. Beberapa tahun kemudian lebih kurang sepuluh keluarga Cina bekas pekerja lombong daripada Kuala Lumpur keturunan Hailam, telah membuka Kampung Tanjung Tuntung.

Pada tahun 1900, sebuah Pengkalan Rakit telah dibina oleh Tuan Haji Ibrahim yang berasal dari Jementah. Kedudukan pengkalan itu betul-betul di tepi Sungai Muar iaitu di Pekan Buloh Kasap, Pengkalan Rakit ini digunakan oleh orang ramai untuk urusan memunggah atau membawa hasil dagangan tempatan untuk dijual ke Muar (Bandar Maharani). Perjalanan sungai melalui beberapa pengkalan lain seperti Tebing Tinggi. Barang yang diperdagangkan meliputi damar, kayu-kayan, kelapa, getah dan seumpamanya. Pengkalan Haji Ibrahim akhirnya diberi nama 'Pengkalan Tok Sara' sempena nama anaknya yang menggantikan beliau sesudah kematiannya.¹⁰

Pada tahun 1902 Taicu datang berniaga di Buloh Kasap. Mereka mula-mula sekali berniaga di tepi Sungai Muar, Buloh Kasap.

Pada tahun 1905 kerajaan membina sebuah rumah pasong (balai polis) di Buloh Kasap. Kedudukan rumah pasong ini berhampiran benar dengan Sungai Muar. Ketua rumah pasong yang pertama sekali ialah Abdullah bin Mahat berpangkat Sarjan. Beliau ditukarkan ke Buloh Kasap dengan tujuan untuk menjaga keamanan. Abdullah Mahat diberi kepercayaan penuh oleh kerajaan untuk tujuan itu, sebab beliau adalah seorang pegawai yang berpengalaman dan berwibawa.¹¹ Kerajaan membina rumah pasong tersebut dan menempatkan enam orang anggota polis termasuk Sarjan Abdullah Mahat sendiri sebagai Ketua.

Pada tahun 1907 jambatan keretapi Buloh Kasap telah dibina bagi menyambung perjalanan dari Gemas ke Segamat. Kebetulan pada masa itu Abdullah Mahat masih bertugas di rumah pasong Buloh Kasap sebagai Ketua Polis. Abdullah sering membuat lawatan ke beberapa tempat termasuk kampung-kampung sekitar kawasan Buloh Kasap. Tugas ini beliau lakukan sepanjang tahun 1906 hinggalah ke tahun 1910. Beliau adalah tenaga penggerak bagi mengatur dan menyusun kedudukan pekan Buloh Kasap.¹²

_________________________________
Nota Kaki:
[¹][²] Utusan Zaman, 21 Julai 1998.

[³][⁴] Temubual dengan Hj. Sulaiman Dato' Hj. Abdullah, Buloh Kasap, 21 Julai 1998.

[⁵] Temubual dengan Hj. Hussin Abbas, Buloh Kasap, 20 Julai 1998.

[⁶][⁷] Temubual dengan Khadijah binti Dato' Hj. Abdullah, Batu Anam, 20 Julai 1998.

[⁸][⁹][¹⁰][¹¹] Temubual dengan Hj. Sulaiman Dato' Hj. Abdullah, Buloh Kasap, 21 Julai 1998.

[¹²] Bagi Menanggapi sejarah Johor dari segi pentadbiran dan perkembangannya, lihat Ahmad Fawzi Basri, Johor 1855-1917, Pentadbiran Dan Perkembangan, Fajar Bakti, Petaling Jaya, 1988.

Ulasan

Catatan Popular